Pengenalan
Apakah sebab utama KKAUM dapat menarik kakitangan Universiti Malaya untuk menjadi ahli? Adakah keahlian kita meningkat disebabkan oleh faedah-faedah yang diberi atau adakah tarikan tersebut disebabkan oleh usaha-usaha barisan Exco Kesatuan memperjuangkan hak-hak mereka?
Jika kita memilih sebab yang pertama, maka kita harus menghargai sumbangan dari pengorbanan pucuk kepimpinan kita yang lalu kerana ianya mempunyai visi untuk memajukan kesatuan ini.
Jika kita memilih sebab yang kedua, maka kita harus mengucapkan tahniah kepada keahlian yang telah memainkan peranan untuk membimbing dan memberi tunjuk ajar kepada Jawatankuasa Kerja Kesatuan kita agar hasrat dan objektif penubuhan Kesatuan kita dapat dicapai. Dalam 46 tahun penubuhan Kesatuan kita, banyak peristiwa pahit manis yang telah kita lalui bersama yang mungkin telah menguatkan atau melemahkan Kesatuan kita.
Jangan kita leka dan menganggap bahawa kita sebagai ahli tidak ada peranan untuk dimainkan demi kemajuan Kesatuan kita bersama. Tahun ini genap 51 tahun kita menyambut kemerdekaan negara kita yang tercinta. KKAUM pula genap mencapai umur 46 tahun penubuhannya. Bermula dari sebuah kesatuan kecil yang mempunyai keahlian kurang daripada 200 orang pada masa itu, KKAUM kini mempunyai keahlian seramai lebih 1500 orang dan masih meningkat dari tahun ke setahun.
